Thursday, April 13, 2017

Penat Jaga Hati Orang Lain

Assalamualaikum dan salam sehati sejiwa. Bismillah...

Hai semua.

Entri kedua untuk hari ini. Terlebih rajin namanya. Bila datang rajin, beberapa entri pun boleh disiapkan. Malam tadi memang gigih aku menulis blog dan menyiapkan cerpen yang tertangguh. Cerpen orang lain sehari aje boleh siap. Aku makan minggu kut nak siapkan. Sejenis perangai. Hadamkanlah perangai sendiri. Baiklah, terus sahaja kepada tajuk entri.

Kali ini aku nak kongsikan perihal hati. Hati ini memang sukar diramalkan. Kalau tidak dijaga elok, pasti akan rosak dan memakan diri. Itu yang kita perlu ambil berat. Jagalah hati. Sering kali kita mendengar keluhan ini. 

'Penat jaga hati orang lain.'

Biasalah, kita hidup dengan masyarakat memang perlu menjaga hati orang lain. Sekurang-kurangnya kita cuba. Jangan langsung tidak mencuba. Adakalanya, memang kita akan rasa perasaan begini. Hati kau akan berkata-kata.

'Aku aje yang nak jaga hati dia. Tapi dia tak jaga hati aku pun.'

Memang perasaan itu akan menjalar dalam diri. Biasalah, kita manusia. Tiada yang sempurna. Abaikan. Kita pun adakalanya terlepas pandang dalam menjaga hati orang lain. Kadang kita rasa dah cukup menjaga hati orang walhal orang tu sebenarnya terasa dengan kita. Begitu juga sebaliknya. Kita menilai diri sendiri berdasarkan apa yang kita mampu buat. Orang lain menilai kita berdasarkan apa yang telah kita buat.

Apa yang paling utama, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui.

Paling senang istilahnya, kalau kita mahu hati kita dijaga, kita perlu dulu menjaga hati orang lain. Walaupun adakalanya terasa hati sekali pun, biarlah dipendam sendiri. Lama kelamaan, kau akan biasa dengan situasi begitu.

Soal menjaga hati ini sangat meluas. Menjaga hati pasangan, menjaga hati kedua ibu bapa kita, menjaga hati anak-anak, menjaga hati kawan dan banyak yang perlu dititikberat dalam soal menjaga hati. Kita hidup bukan seorang diri di muka bumi ini. Setakat terkecil hati, itu perkara biasa.

Macam aku, kalau terasa hati dengan seseorang aku hanya pendam. Iye, aku jenis orang yang memendam. Aku diamkan aje walaupun orang itu bertanya pada aku. Aku akan kata tidak ada apa-apa.

Kalau aku tidak mampu simpan sendiri, aku akan luah pada seseorang. Kemudian selesai. Pujuk diri sendiri dan aku akan okey. Macam itulah selalunya. Sekarang ini aku banyak belajar mengawal perasaan sendiri. Kurangkan bercakap agar tidak menyakiti orang lain. Sejak akhir-akhir ini, aku tidak mahu terlalu bermain dengan emosi. Banyak perkara lain yang boleh diambil pusing. Setakat hal remeh-temeh ini, memang aku malas nak amik port.

Buang masa.

Carilah kerja berfaedah. Kalau tidak mampu melontarkan kata-kata yang baik, adalah lebih baiknya kita berdiam sahaja.

Adakalanya, sendiri itu lebih baik. Tengok keadaan jugak. Bergantung pada situasi. Bukan disuruh tidak campur orang. Mati memang sorang-sorang tapi yang menguruskan kita nanti pun orang lain juga.

Sebagai contoh, dalam berkawan. Kadang kalau sudah kawan ramai-ramai, mesti ada aje yang terasa hati bagai. Confirm. Mesti ada punya. Lebih-lebih lagi perempuan. Perempuankan selalu bermain dengan emosi. Nanti yang si A terasa dengan si B. Si C terasa dengan si A. Jadi untuk elakkan situasi begitu bersarang dalam hati aku, aku lebih suka sendiri. Mungkin itu yang terbaik.

Aku pernah melalui situasi yang aku pun tak jangka. Diberitahu tentang dia terasa hati dengan aku. Isunya sebab bila si A ajak aku keluar teman dia, aku ikut. Tapi bila dia ajak aku teman, aku menolak. Antara perkara-perkara yang aku sendiri terlepas pandang. Mungkin waktu A ajak aku sedang free dan mungkin bila B ajak aku sedang sibuk. Terpaksa buat andaian sendiri.

Begitulah. Itu salah satu contoh situasi yang aku pernah lalui.

Semoga kita sentiasa diberi hati yang baik untuk terus menjaga hati orang lain. Sekurang-kurang belajar menjadi baik hati. Apa-apa sekali pun, dalam soal begini biarlah kita tidak keterlaluan. Biarlah bersederhana sahaja. Bukan apa, kalau terasa tidaklah kita terlampau kecewa. Ironinya, dalam kehidupan ini memang banyak cabarannya. Semoga kita kuat menghadapi liku-liku cabaran itu.

Sekian dan wassalam.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments: